PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengadakan Solat Jenazah Almarhum Prof Dr Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi di tiga masjid utama Jakim selepas solat Isyak malam ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, ia akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
Katanya, solat jenazah merupakan penghormatan terakhir kepada arwah.
“Kami juga ingin menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara untuk sama-sama mengadakan Solat Jenazah Ghaib.
“Jakim merakamkan ucapan takziah atas kembalinya rahmat Dr Yusof Al-Qaradawi yang meninggal dunia pada usia 96 tahun di Doha, Qatar semalam.
“Arwah yang juga Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1431H/2009,” katanya menerusi kenyataan media hari ini .
Hakimah berkata, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat dunia kerana jasanya terutama dalam dunia sains, pemikiran dan dakwah yang banyak memberi kesan kepada pembangunan dan kemajuan manusia di seluruh dunia. – UTUSAN