LONDON – Arang patah, rotan patah. Itu gambaran sebenar pelumba Sepanyol, Maverick Vinales selepas mengakui tidak akan kembali menyertai pasukan Yamaha walaupun timbul spekulasi mengenai kepulangannya bersama pasukan itu.
Vinales meninggalkan Yamaha serta-merta pada 2021 selepas perselisihan faham antara kedua-dua pihak sebelum pemain Sepanyol itu menandatangani kontrak dengan Aprilia.
Gembira dengan kemajuannya di Aprilia, Vinales yang menandatangani kontrak sehingga 2024 mengakui ‘keluarga’ baharunya lebih harmoni dan berazam memburu gelaran dunia bersama pasukan.
“Paling penting saya dan pasukan berjuang untuk menjadikan Aprilia juara dunia, pasukan sangat jelas mengenai perkara ini. Kami mesti terus berjuang seperti ini kerana saya fikir pasukan mempunyai visi yang jelas untuk memburu kejayaan.
“Mengenai Fabio Quartararo (Yamaha), saya tidak tahu apa yang dia katakan, kerana saya sudah bertahun-tahun tidak mencuba jentera baharu mereka. Mengenai kembali ke Yamaha, saya tidak pernah melakukannya.
“Saya gembira dengan kemajuan yang dicapai Aprilia setakat ini dan saya tidak sabar untuk terus membantu pasukan ini terutama untuk kembali naik podium,” katanya yang akan menguji litar RS-GP di Sepang hujung minggu ini.
Aprilia dilihat serius membangunkan jentera terbaik mereka apabila menawarkan bekas pasukan Yamaha, RNF sebagai pasukan satelit mereka untuk memulakan musim baharu.
Lebih menarik, Aprilia menawarkan jentera spec kilang kepada kedua-dua pelumba RNF, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez. – AGENSI
Jawatan Vinales enggan kembali ke Yamaha muncul pertama kali pada Kosmos Digital.
[ad_2]
KREDIT UNTUK SUMBER ARTIKEL. SILA KE LAMAN WEB ARTIKEL