JAKARTA – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan semua negara kini berada dalam keadaan sukar, manakala seramai 19,600 orang di dunia mati kelaparan akibat krisis makanan, lapor saluran berita Liputan6 semalam.
“Saya baru dapat angka 19,600 orang mati kelaparan setiap hari kerana krisis makanan di seluruh dunia,” kata Jokowi ketika menghadiri Majlis Perasmian Hari Perasmian Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN).
Selepas pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky beberapa bulan lalu, beliau membuat kesimpulan bahawa perang di Ukraine tidak akan berakhir tidak lama lagi.
Menurutnya, keadaan itu bakal mencetuskan krisis yang akan mengakibatkan ribuan penduduk dunia mati akibat kelaparan.
Bagaimanapun, beliau masih melihat peluang cerah untuk Indonesia. Ekonomi digital negara dikatakan berkembang pesat dan mencatatkan paras tertinggi di Asia Tenggara.
Kadar pertumbuhan ekonomi digital Indonesia dijangka melonjak lapan kali ganda daripada 2020 berjumlah 632 trilion rupiah (RM192.08 bilion) kepada 4,531 trilion rupiah (RM1.38 trilion) pada 2030.
Tambah Jokowi, pengguna internet di Indonesia mencapai 77 peratus dengan penggunaan kira-kira 8 jam 36 minit setiap hari.
Beliau berkata bahawa syarikat pemula di Indonesia berada di kedudukan keenam di dunia selepas Amerika Syarikat, India, Britain, Kanada dan Australia. – Agensi