
SUNGAI PETANI – Hasrat tiga lelaki melakukan samun gagal apabila tersalah pilih sasaran dan mangsa merupakan anggota Peronda Polis PLUS dalam kejadian di pintasan Gurun-Jeniang, Gurun dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam ketika mangsa berusia 38 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di sini selepas selesai bertugas di Plaza Tol Gurun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu seorang diri di laluan pintasan Gurun-Jeniang berhampiran Kilang Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas).
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa ternampak seorang lelaki terbaring di tengah jalan dan dia kemudian memberhentikan kenderaan dengan niat untuk membantu.
“Ketika menghampiri lelaki yang sedang terbaring itu, dua lagi lelaki tiba-tiba keluar dari kawasan berhampiran dan terus menendang pegawai polis berpangkat Koperal itu dari belakang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, anggota polis terbabit cuba melawan untuk mempertahankan diri sebelum berjaya menumbuk suspek menyebabkan dua lagi rakan jenayah melarikan diri.
“Tindakan anggota berkenaan menyebabkan tiga penyamun terbabit bertukar putih,” katanya. – COSMO! DALAM TALIAN
Jawatan Tiga penyamun gagal merompak anggota polis yang meronda muncul pertama kali pada Kosmos Digital.
KREDIT UNTUK SUMBER ARTIKEL. SILA KE LAMAN WEB ARTIKEL