Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah
Berita

Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah

5/5 - (1 vote)

MLK010043037

MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan kos RM20,000.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam dua prosiding yang berlangsung pada 17 dan 31 Januari lalu.

Peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hakim mendapati ada merit dan menerima dua bantahan awal iaitu petisyen difailkan melebihi tempoh dibenarkan dan pempetisyen gagal menjelaskan lagi fakta yang dikemukakan dalam petisyen.

Beliau berkata, susulan pembatalan petisyen itu, hakim mengisytiharkan Mas Ermieyati kekal sebagai penyandang dan beliau telah dipilih secara sah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

WhatsApp Image 2023 02 07 at 1.19.10 PM
MOHD. Faizi Che Abu bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

“Perkara asas yang ditegaskan hakim ialah mana-mana petisyen yang hendak dibatalkan atas alasan rasuah perlu difailkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kejadian yang didakwa berlaku pada 19 November 2022. Oleh itu berlaku kelewatan selama 17 hari.

“Begitu juga dengan kenduri yang dibuat pada 3 Disember 2022, masih lewat tiga hari daripada tempoh yang dibenarkan. Selain itu, kandungan petisyen juga bercampur aduk dan tidak menjelaskan bagaimana ejen yang dinamakan dalam petisyen itu dilantik.

“Pemohon tidak menjelaskan bagaimana responden ini (Mas Ermieyati) melantik individu yang dikatakan ejennya. Apabila fakta tidak jelas, hakim menyatakan ia tidak mematuhi peraturan petisyen,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, calon BN Abdul Hakim Abdul Wahid memfailkan petisyen pada 3 Januari lalu berhubung dakwaan rasuah dalam bentuk wang dan jamuan untuk meraih undi pada PRU15.

Sementara itu, peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili Abdul Hakim memaklumkan anak guamnya telah memerintahkan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah menolak petisyen itu.

Menurutnya, rayuan akan difailkan ke Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

“Kami akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi kerana kami percaya ada beberapa perkara yang boleh dirayu.

“Ada beberapa perkara yang perlu dikekalkan dan saya khuatir perkara itu akan dikaitkan dengan kes perbicaraan lain jika kita tidak memfailkan rayuan,” katanya. – UTUSAN

Jawatan Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah muncul pertama kali pada Utusan Malaysia.

[ad_2]

KREDIT UNTUK SUMBER ARTIKEL

Related posts

Penganggur dituduh membunuh warga emas

info

Satu lagi gambar perkahwinan Elizabeth Tan, suami

info

Saya tidak boleh dipersalahkan – Tun M

info

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More

Privacy & Cookies Policy