WUHAN: Lelaki yang suka minum teh dilaporkan mempunyai kesuburan yang lebih tinggi berbanding mereka yang gemar menikmati kopi.
Pasukan penyelidik di Universiti Hubei di Wuhan menyimpulkan bahawa minuman berasaskan teh boleh meningkatkan kesuburan lelaki.
Kajian itu dijalankan untuk menguji kualiti sperma yang melibatkan 1,400 lelaki.
Hasil kajian menunjukkan lelaki yang minum teh mempunyai bilangan sperma yang lebih tinggi dan lebih sihat.
Dalam kajian itu, sampel sperma daripada semua responden diambil antara April 2017 dan Julai 2018.
Responden juga ditanya tentang gaya hidup dan amalan pemakanan mereka, dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Chemosphere menunjukkan bahawa 28 peratus responden suka minum teh, manakala 72 yang lain tidak.
Laporan itu, bagaimanapun, tidak menyebut jenis teh yang mereka minum, atau sama ada mereka menambah gula dan susu kepadanya.
Responden yang suka minum teh terbukti mempunyai bilangan sperma yang lebih tinggi dan pekat berbanding mereka yang tidak meminum minuman tersebut.
Tahap boleh dikira berdasarkan minum teh sekurang-kurangnya tiga hari seminggu dan jika kurang, tiada perubahan dapat dilihat.
Responden yang minum teh selama 10 tahun atau lebih juga mempunyai kadar kepekatan sperma yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak meminum minuman tersebut.
Walau bagaimanapun, penyelidik menekankan bahawa kajian itu tidak boleh dikaitkan dengan masalah kesuburan dalam kalangan lelaki memandangkan pelbagai faktor boleh mempengaruhi perkara tersebut terutama melibatkan gaya pemakanan.