PETALING JAYA – Beberapa pengguna media sosial berkongsi pengalaman mereka melihat Planet Musytari ketika berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi malam tadi.
Fenomena yang dikenali sebagai istiqbal itu difahamkan berlaku setiap 107 tahun sekali.
Dalam kejadian itu, permukaan Musytari yang menghadap Bumi akan diterangi sepenuhnya oleh Matahari menyebabkan ia lebih terang berbanding kedudukan lain.
“Masya-Allah malam tadi sambil menonton Master Celebration dan menikmati langit berbintang, langit sangat cerah.
“Planet Musytari sangat jelas dan terang di langit timur. Ia sangat terang, ia kelihatan seperti kapal terbang sahaja kerana terlalu terang. Cuma ia tidak berkelip,” kata Lyna Noh menerusi catatan di Facebooknya.
Sebelum ini, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan planet terbesar dalam sistem suria itu akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 26 September (semalam).
“Jupiter akan berada pada jarak 587 juta kilometer dari Bumi yang merupakan kedudukan paling hampir,” jelasnya. – COSMO! DALAM TALIAN