SEREMBAN – Seorang ibu kini trauma selepas berdepan kejadian membimbangkan apabila seorang lelaki tidak dikenali menghampiri anak-anaknya yang bermain di taman permainan di Taman Desa Cempaka, Nilai di sini semalam.
Norazlina Hussain, 38, berkata, ketika kejadian, ibunya membawa dua anaknya dan seorang anak saudaranya masing-masing berusia tiga hingga tujuh tahun ke taman permainan pada jam 6 petang.
“Namun, pada jam 6.30 petang saya tergerak hati untuk ke taman itu dan kemudian ternampak seorang lelaki tidak dikenali memegang buaian anak-anak saya dan memberi mereka gula-gula.
“Saya kemudian cuba mendekati dan membawa kanak-kanak itu perlahan-lahan kerana takut lelaki itu mempunyai senjata.
“Saya terus membawa anak-anak pulang ke rumah dengan segera. Ketika itu dua orang anak saya sempat makan gula-gula itu tetapi tiada apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, selepas pulang dia memaklumkan kejadian itu kepada suaminya dan selepas senja, suaminya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu bagaimanapun tiada kertas siasatan dibuka.-KOSMO! DALAM TALIAN