PETALING JAYA – Bintang muda Harimau Malaya, Arif Aiman sekali lagi membuktikan dia mempunyai kelas tersendiri apabila menjadi pemain paling berharga dalam kalangan pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Berdasarkan tinjauan di laman web Transfermarkt, nilai terkini pemain berusia 20 tahun itu ialah €400,000 atau RM1.84 juta.
Menerusi laman Facebook Pecinta Bola Sepak Malaysia, penyokong berkongsi nilai terbaharu Arif dalam pasaran menunjukkan peningkatan sebanyak 67 peratus dalam tempoh setahun.
Sebelum ini, pada Oktober 2021, Arif dinilai pada tanda harga €150,000 atau bersamaan RM689,962.
Nilai itu kemudian meningkat sebanyak 50 peratus pada Mei lalu apabila pemain sayap kanan itu bernilai €300,000 atau bersamaan RM1.38 juta.
Penilaian terbaru oleh Transfermarkt bermakna Arif kini merupakan pemain ketiga paling berharga dalam skuad JDT di belakang Fernando Forestieri (€850,000 (RM3.9 juta) ) dan Bergson da Silva (€500,000 (RM2.29 juta)).
Rata-rata peminat pemain kelahiran Pahang itu turut memuji kebolehan dan kelebihan pemain itu selain turut menasihatinya agar tidak melupakan dirinya.
“Ini satu perkembangan positif untuk pemain negara, saya ucapkan tahniah kepada Arif. Ingat jangan berbangga dengan apa yang kita ada,” jelas Nazim Fakri.
“Awak masih muda, banyak peluang dan kejayaan akan dapat nanti, ingat rasuah dan wanita yang merosakkan bola sepak, ingat itu,” kata Faiz Ismail. – COSMO! DALAM TALIAN.
[ad_2]