KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti kira-kira 595 lokasi ‘hot spot’ yang dijangka banjir pada musim tengkujuh di tujuh daerah tahun ini.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, kebanyakan kawasan panas banjir adalah kawasan kampung yang sering dilanda banjir terutama di daerah Rantau Panjang, Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai dan Tumpat.
Menurutnya, JBPM juga sentiasa melakukan pemantauan di kawasan cerun berisiko di negeri ini.
“Selain kawasan kampung, lokasi cerun terutama di Gua Musang dan Jeli merupakan lokasi yang terjejas pada musim Monsun Timur Laut kerana ia antara kawasan tinggi di negeri ini.
“Berhubung itu, seramai lebih 3,500 anggota operasi termasuk bomba komuniti dan pesara bomba sedang bersiap sedia,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan September 2022 di Dewan Besar JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Zainal, jumlah itu terdiri daripada 1,300 koperasi, 2,200 anggota bomba komuniti dan 65 pesara bomba yang sudi membantu secara sukarela di kawasan masing-masing. – COSMO! DALAM TALIAN